Friday, February 19, 2016

PENCEMARAN AIR




>Air merupakan sumber yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Hampir semua aktiviti yang dilakukan memerlukan air. Oleh itu, air merupakan keperluan asas yang penting.Pada masa dahulu, air bersih boleh diperolehi dari sungai dan tasik.Namun malang sekali, punca air bersih semakin berkurangan dan amat sukar diperolehi kerana berlakunya pencemaran air. Air kini perlu dirawat dulu sebelum selamat digunakan.

>Pencemaran air berlaku adalah hasil daripada aktiviti manusia sendiri. Antaranya ialah pembuangan sampah sarap dan bahan kumbahan secara tidak bermoral ke dalam sungai. Sampah sarap dan bahan kumbahan dari kawasan perbandaran telah menyebabkan berlakunya pencemaran air. Hal ini menyebabkan air tercemar dan tidak selamat digunakan.

>Penebangan pokok-pokok di hutan untuk tujuan komersial juga menyumbangkan pencemaran air. Pokok-pokok ditebang untuk membuka penempatan baru untuk kediaman manusia dan mendirikan kilang. Akibatnya, penerokaan tersebut menyebabkan hakisan tanah dan seterusnya tanah runtuh akan masuk ke dalam sungai dan menjadi mendakan. Mendakan ini boleh mencetakkan lagi paras air sungai dan seterusnya menyebabkan berlakunya banjir kilat.

>Kilang-kilang yang dibina di tepi sungai menyumbang ke arah pencemaran air. Sikap yang tidak bertanggungjawab dan mementingkan keuntungan telah membutakan hati dan perasaan manusia terhadap alam sekitar. Pengusaha kilang berusaha untuk menjimatkan kos dengan mengambil jalan mudah iaitu membuang sisa-sisa toksik ke dalam sungai.Pembuangan ini dianggap mudah kerana tidak memerlukan kos pelupusan.Bahan-bahan kimia yang dibuang itu akan membunuh hidupan akuatik seperti ikan dan tumbuhan laut. Secara tidak langsung,sumber-sumber protein semakin berkurangan.

>Pembuangan baja dan racun perosak kimia dari kawasan pertanian juga menyebabkan pencemaran air. Air hujan akan membawa baja dan racun perosak kimia yang digunakan oleh petani ke dalam sungai. Bahan-bahan beracun ini akan membunuh hidupan air dan juga mengakibatkan kandungan oksigen di dalam sungai dan seterusnya menjejaskan ekosistem.

>Dalam usaha mengekalkan tahap pencemaran air semasa supaya tidak menjadi lebih serius maka langkah-langkah yang wajar harus diambil. Antara langkah-langkah yang boleh diambil ialah menyediakan tangki takungan bawah tanah yang merawat.Tangki takungan bawah tanah dapat mengatasi masalah pelepasan air buangan domestik terus ke dalam sistem perparitan dan juga boleh merawat air dengan menggunakan bioteknologi selaras dengan usaha negara menjadikan Malaysia sebagai pusat bioteknologi rawatan air. Selain itu, kerajaan juga harus memperuntukan sejumlah wang supaya sistem perparitan dari kawasan perumahan terutamanya kawasan perindustrian serta pengusaha kedai makanan harus dibina saluran paip khas supaya bahan buangan dapat dikumpulkan di dalam tangki tangkungan tersebut sebelum disalurkan ke dalam sistem perparitan.

>Selain itu, untuk mengatasi masalah sampah sarap dialirkan oleh air melalui longkang, pemasangan perangkap sampah adalah perlu. Perangkap sampah harus dipasang di tempat-tempat yang strategik di sepanjang parit utama untuk memerangkap sampah sarap dan juga memudahkan pengurusan penyelenggaran.

>Untuk memastikan supaya sampah sarap tidak menyebabkan sistem perparitan tersumbat maka penyelenggaraan berkala seharusnya dijalankan iaitu satu atau dua kali sebulan. Dengan cara in, maka sampah sarap tidak akan menyebabkan sekatan air serta tidak terlepas ke sistem saliran utama di sungai.

>Untuk mengatasi masalah sikap masyarakat yang bersikap tidak peduli, kempen kesedaran harus diadakan. Antara kempen-kempen yang melindungi alam sekitar ialah kempen cintailah sungai kita, sahabat alam, kempen kitar semula dan sebagainya. Kempen-kempen ini dapat memberi kesan yang mendalam terhadap masyarakat. Kempen cintai sungai telah menjalankan banyak aktiviti untuk membersihkan kawasan sungai. Selain membersih, mereka juga menanamkan kesedaran kepada penduduk tempatan tentang kepentingan sungai.

>Pada hari ini, media massa memainkan peranan yang penting dalam membentuk cara pemikiran semua pengguna. Oleh itu, dengan adanya pendedahan media massa tentang isu pencemaran, masyarakat umum akan berhati-hati dalam menangani masalah pencemaran. Setakat ini, media massa yang paling banyak membuat pendedahan tentang isu pencemaran ialah majalah dan surat khabar.

>Malaysia merupakan sebuah negara yang maju namun kepesatan pertumbuhannya itu menyebabkan masyarakat tidak menyedari kesan sampingan terhadap alam sekitar. Kita tidak seharusnya mementingkan diri sendiri. Kita harus fikirkan keadaan generasi akan datang yang terpaksa menanggung hasil tindakan yang kita buat hari ini. Oleh itu, kita harus menjalankan kewajipan kita dalam menjaga alam sekitar dengan baik.

No comments:

Post a Comment